"Dah lama ke menjahit?" Tanya seseorang.
"Sejak sekolah menengah."
"Owh!! Lamanya."
"Arwah ayah dulu tukang jahit. Mak pun boleh jahit. Ada mesin jahit kat rumah, kita kerjakan lah. Mula dengan jahit langsir simple dulu. Dah pandai jahit, belajar potong baju kurung dengan kakak ipar. Sekali belajar terus boleh buat. Sejak dari tu tak pernah tempah baju kurung dan tak pernah masuk kelas kemahiran lagi." Sambungku memulakan cerita.
Alhamdulillah.
Teringat nostalgia zaman muda remaja.
"Sini nak ajar potong kain, jahit sendiri la." Kata kakak ipar suatu ketika dulu.
Dia tahu adik dia ni boleh jahit cuma tak pandai potong kain. Masa tu masih bersekolah, dalam tingkatan 6. Lepas dah dapat kemahiran tu, selalu jahit baju sendiri dan yang penting tak susahkan kakak lagi.
Lepas exam STPM, nak cari pengalaman kerja. Pergi tinggal rumah kakak di Kota Bharu. Kerja kilang batik sekejap dekat area rumah kakak.
Kakak ambil upah jahit sembat baju kurung, jahit leher mata lalat dan tulang belut. Kemahiran dah ada, jadi boleh tolong dia siapkan tempahan.
Rumah abang juga di Kota Bharu. Abang yang isterinya tukang jahit (kakak ipar yang ajar potong kain). Mereka usahakan jahit pukal baju melayu di rumah.
Semasa tinggal di KB sekitar tahun 1995, asyik ulang alik, antara rumah kakak dan rumah abang. Sesekali tinggal di rumah abang, membantu kerja jahit baju Melayu. Sekarang kakak ipar masih usahakan tempahan baju Melayu dan jubah di Tumpat, Kelantan. Anak dia pun tailor baju lelaki.
Ulang alik dari Penambang ke Kubang Kerian, Kelantan. Kadang dengan bas, kadang kakak hantar dengan motor atau kereta. Seminggu sekali balik kampung dengan kakak atau sendirian naik bas.
"Pergi ambil lesen motor la lepas ni." Kata kakak. Wah! Lampu hijau dah dapat!
Sambil kerja, masuk kelas memandu, ambil lesen motor. Dapat lesen motor serentak dengan dapat keputusan STPM. Dapat masuk UM, belajar bidang agama. Tak ada kena mengena dengan bidang jahitan sebab tak terfikir lagi nak bisnes dalam bidang ni. Cita-cita nak jadi cikgu.
Lepas keluar U, susah dapat kerja dan tak dapat sambung Diploma Pendidikan untuk jadi cikgu. Zaman ekonomi meleset masa ni.
Ramai yang mampu, sambung belajar buat master. Yang ada banyak kelebihan dan kemahiran senang dapat kerja. Aku? Kategori wanita Melayu terakhir, sejenis yang kurang keyakinan diri. Hanya sesuai kerja di belakang tabir.
Sekitar tahun 2001, tukar kerjaya lagi yang tak ada kaitan dengan jahitan. Buat kerja admin dengan Persatuan Silat, sebab memang ahli silat dan kira aktif juga la dari UM hingga dah kerja. Seorang kawan baik yang dah meninggal awal tahun ni, arwah Kak Nita (Al-fatihah). Selalu bawa ikut program silat.
Sambil kerja, timbul minat nak cari side income. Buat part time tuisyen dan menjahit di rumah (rumah sewa bujang). Kenal owner kedai jahit dekat area ofis, bagitahu boleh jahit tulang belut baju Melayu Johor. Dia test dulu, lepas tu, Alhamdulillah dapat job.
Kemudian usaha beli mesin jahit portable cash, RM400 lebih je masa tu. Boleh ambil tempahan jahit langsir, baju kurung dari kawan-kawan rapat sahaja.
Allah punya aturan, dah aktif dengan persatuan silat, bertemu jodoh di sini. Bakal suami (masa ni) tahu boleh jahit terus tempah jahit langsir untuk rumah dia.
Dipendekkan cerita, kenal suami lebih kurang setahun lebih. Bulan Ogos 2004 kami kahwin. Lepas kahwin, dia yang banyak bagi sokongan untuk buat bisnes ni.
Tahun 2007.
Abang ipar (abang suami) buka company baru, bisnes wedding. Aku dan adik beradik suami kerja dalam satu company. Suami masih kerja di syarikat lain masa tu dan dia hanya kerja hujung minggu.
Peringkat awal, banyak belajar. Buat persediaan untuk butik baru dan persediaan diri kami untuk berdepan dengan pelanggan.
Kami bermula dari zero, tak ada ilmu pasal bisnes wedding. Bos bagi peluang belajar, berfikir dan cari penyelesaian sendiri.
Kami sediakan servis lengkap, pelamin, fotografi, make up, busana, katering...semua ada. Wedding planner jawatan disandang. Macam tak percaya terjun dalam bidang ni.
Berbekalkan kemahiran jahit yang minima, diberi tanggungjawab uruskan tempahan baju pengantin. Selalu ke butik pengantin di ibu kota cari keperluan butik. Biasanya pergi berdua dengan suami. Berurusan dengan penjaga butik yang akhirnya jadi kawan. Beliau banyak bagi inspirasi.
Inspirasi macamana tu?
Saya perhatikan beliau, ambil order, ambil ukuran baju pelanggan, layan pelanggan dengan baik. Saya tanya, "memang pandai jahit ke?"
Jawabnya, "tak la kak...saya tak pandai jahit. Tahu ambil ukuran je. Tailor yang ajar."
Wah! Tak pandai jahit tapi berani ambil risiko buat baju customer. Inilah yang bagi saya semangat. Budak yang tak pandai jahit pun boleh buat, kenapa aku tak boleh?
Lepas setahun tempah jahit dan beli yang readymade, dah kenal supplier dan tailor, kami cuba reka sendiri. Suami yang tak tahu apa-apa pasal fesyen, terpaksa libatkan diri cari idea dan study. Kami bincang sama-sama, dapat design bagi pada tailor. Begitulah kerja kami.
Beberapa tahun hasilkan baju pengantin untuk butik, tahun 2013 baru berani terima tempahan baju pelanggan. Itupun saya tak jahit sendiri. Pelanggan juga tahu, kami bagi pada tailor freelance. Saya cuma uruskan tempahan.
Dari baju biasa, baju raya hingga dress glamour. Dari pelanggan biasa sampai VIP. Banyak pengalaman pahit manis berdepan dengan pelanggan dari pelbagai lapisan.
Tailor yang dapat job juga tak kedekut ilmu, kadang-kadang belajar dengan dia. Sebab tu kami jaga hubungan dengan tailor yang satu ni. Kongsi rezeki yang dapat.
Berurusan dengan pelanggan yang tempah baju juga ada cerita sendiri. (Rasa nak tulis pengalaman ni dalam episod lain). Dari silap kita belajar betulkan, lebih faham kehendak pelanggan, lebih faham pasal fesyen.
Alhamdulillah pengalaman berharga buat kami. Sampai masa kami buat keputusan untuk bergerak sendiri. Sementara masih kerja, kami usahakan secara part time. Suami bagi galakan untuk beli 2 buah mesin jahit industri. Kerja jahit tudung dari rumah. Cubaan pertama kurang berjaya.
Tak serik, cuba lagi.
2017, nekad nak berhenti kerja dan uruskan bisnes sendiri sepenuh masa. Suami sokong dan bantu apa yang patut. Sentiasa ingat pesanan dia, "mula niaga, kita kena belajar hidup susah. Mindset kena berubah."
Hujung 2017, kami bermula dalam Giant, tempat asal kami bekerja. Awal tahun 2018, kami berpindah ke shop lot berhampiran Giant Taman Permata, hingga kini.
Cerita jatuh bangun kita simpan dulu, dah berjaya baru boleh cerita (mungkin). Jadi, kami di sini, teruskan perjuangan dalam bidang jahitan dan fesyen. Belum berjaya tapi yakin, In Syaa Allah akan berjaya.
Terima kasih pada yang menyokong dari awal hingga akhir.
Kami menerima tempahan jahit baju kurung biasa dan baju nikah. Harga dari tahun 2013 tak berubah. Bermula RM80, bergantung pada fesyen dan material.
Lokasi : Butik Auralisha Bridal & Hijab, Taman Permata, Ulu Kelang, KL.
Whatsapp : 011-15260775





No comments:
Post a Comment