Monday, December 2, 2019

Sudut Kongsi Ilmu : Kisah Nabi Adam dan Nabi Idris.

Kenapa saya tulis kisah Nabi di fb https://www.facebook.com/salihahusin? Saya namakan Sudut Kongsi Ilmu. Di facebook, 1 hari 1 kisah akan dikongsi. Di sini saya gabungkan beberapa posting menjadi satu.

Saya kongsi bahan bacaan ilmiah. Daripada baca seorang diri, lebih baik saya kongsi pada yang berminat nak baca. Untuk perkongsian pada anak muda yang mungkin sudah lupa pada sejarah nabi yang ada dalam al-quran. Juga untuk ingatkan diri sendiri agar sentiasa sebarkan manfaat.

Percaya pada Nabi itu salah satu rukun iman. Moga dengan mengetahui sejarah Nabi, iman kita makin mantap. Anak muda yang nak tempuh alam perkahwinan, harus 'upgrade' ilmu Tauhid untuk mantapkan iman. Tauhid yang kuat penting dalam menjalani kehidupan sehari-hari apalagi setelah berumahtangga kerana alam rumahtangga banyak cubaan yang harus dilalui.

Berdasarkan buku Qishashul Anbiya (Sejarah 25 Rasul), tulisan NY.H.Hidayah Salim, saya membuat ringkasan tanpa mengubah maksud supaya senang dibaca oleh masyarakat yang dahaga ilmu.

KISAH NABI ADAM A.S 

Manusia pertama dijadikan Allah swt ialah 'Adam a.s (alaihissalam)'. Dijadikan dari tanah, dibentuk jadi manusia dan ditiupkan ruh ke dalamnya. (Surah Al-Hijr: 26)

Sebelum wujud Nabi Adam, Allah jadikan bangsa jin dari api yang sangat panas. (Surah Al-Hijr:27)
Setelah kejadian Nabi Adam, Allah perintahkan semua isi Syurga (Malaikat dan jin) sujud tanda hormat. Semua Malaikat sujud sebab patuh perintah Allah kecuali Iblis. (Surah al-Baqarah:34)

Iblis sombong sebab rasa dirinya lebih mulia. Manusia dicipta dari tanah yang busuk sedangkan ia dicipta dari api yang panas. Kerana engkar, Allah mengusir iblis dari syurga. (surah Al-Baqarah: 32-35)
Sejak itu iblis berdendam dengan manusia. Ia minta pada Allah agar dipanjangkan usia hingga hari kiamat. Allah perkenankan.

Sebab itu Iblis sentiasa berusaha menyesatkan manusia dengan berbagai tipu helah.

Nabi Adam a.s menerima pelbagai ilmu dari Allah swt. Kemudian Allah minta Malaikat namakan benda-benda yang diajarkan pada Nabi Adam dan Malaikat tidak tahu selain apa yang telah diajarkan padanya.

Walaupun Nabi Adam bersenang-senang di dalam Syurga, namun naluri ingin mempunyai teman tetap ada. Allah swt menciptakan seorang teman yang bernama 'Hawa' supaya Nabi Adam boleh hidup dengan aman, tenteram serta saling mencintai.

Tinggallah keduanya di dalam Syurga Allah dengan senang menikmati segala yang ada kecuali satu  larangan iaitu mendekati pohon kayu khuldi.

Tetapi apa yang terjadi?

Syaitan tahu Allah larang Nabi Adam dan Siti Hawa mendekati pohon kayu khuldi. Dia berusaha sedaya upaya memperdaya keduanya agar makan buah khuldi.

Syaitan datang berupa orang yang bersih hati dan berduka cita hingga menarik perhatian Nabi Adam dan Siti Hawa. Dia bersandiwara kononnya sedih fikirkan nasib Adam dan Hawa, kalau tak makan buah khuldi ni akan sebabkan mereka terusir dari syurga. (Surah Al-A'raf: 20-22)

Adam dan Hawa terpedaya lalu memakan buah khuldi. Allah murka lalu keduanya mohon ampun (bertaubat) pada Allah. Allah terima taubat tapi dipindahkan ke bumi buat sementara sampai ajalnya. (Surah Al-A'raf: 25).

Setelah Adam dan Hawa melanggar perintah Allah, terbukalah pakaiannya yang bagus-bagus dan terpaksalah auratnya ditutup dengan daun-daun kayu.

Keduanya dipindahkan ke bumi bukan di satu tempat, bahkan terpisah dengan jarak yang sangat jauh dan masing-masing mencari-cari. Akhirnya bertemu keduanya di satu tempat yang bernama Padang 'Arafah, ertinya padang tempat kenal-mengenal antara Adam dan Hawa yang sudah lama tidak bertemu.

Adam dan Hawa mempunyai anak yang ramai. Setiap kali lahir anak kembar. Pada zaman ni dibolehkan kahwin dengan saudara sendiri tapi bukan dengan kembar.

Qabil dan Habil.
Iqlima dan Labuda.

Pernah dengar nama ni kan? Tapi lupa...siapakah gerangan.

Mereka adalah anak-anak Nabi Adam a.s.
Qabil dan Iqlima, pasangan kembar.
Habil dan Labuda, pasangan kembar.

Iqlima wanita tercantik. Qabil kembarnya menentang peraturan Allah, ingin kahwini Iqlima.
Ikut peraturan waktu tu, Habil harus kahwini Iqlima dan Qabil harus kahwini Labuda.

Nabi Adam a.s mempertahankan hukum Allah supaya Iqlima kahwin dengan Habil.
Qabil tolak keputusan itu dan Allah perintahkan diadakan kurban. Qabil dan Habil berkurban dan kurban siapa yang diterima Allah, harus kahwini Iqlima. (Surah Al-Maidah: 27-30). Akhirnya kurban Habil diterima Allah.

Qabil marah kepada Habil lalu berlaku pembunuhan. Habil adalah orang pertama meninggal dunia di muka bumi ini.

Dalam kebingungan, Qabil melihat 2 ekor burung gagak berkelahi dan seekor terbunuh. Burung gagak yang hidup menggali tanah dan menanam mayat si mati. Qabil ikut menanam mayat saudaranya seperti burung gagak.

Nabi Adam wafat dalam usia 1000 tahun. Ada riwayat mengatakan bahawa Nabi Adam dikebumikan di Hindustan. Ada riwayat lain mengatakan di Mekah atau Jeddah, berdekatan dengan Siti Hawa. Waallahua'lam.

KISAH NABI IDRIS a.s.

Nabi Idris a.s adalah orang yang mula-mula pandai menulis dengan kalam dan pandai membaca.
Allah turunkan 30 sohifah (petunjuk) untuk disampaikan pada ummatnya (keturunan Qabil yang derhaka pada Allah).

Nabi Idris adalah orang yang mula-mula pandai merancak kuda, ilmu bintang, berhitung.
Beliau juga orang yang pertama pandai menggunting dan menjahit pakaian.

Walaupun sibuk dengan pelbagai urusan dunia, beliau tidak lalai sedikitpun dari mengingati Allah.

Beliau mempunyai kekuatan yang hebat memerangi orang yang derhaka pada Allah.
Allah kurniakan darjat yang tinggi pada Nabi Idris. Keinginan beliau untuk melihat alam ghaib (naik ke langit) diperkenankan Allah.

Ada riwayat menceritakan, ketika Nabi Muhammad saw naik ke langit dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj, baginda bertemu dengan Nabi Idris a.s.

Waallahu'alam.

No comments:

Post a Comment

TAHUN BARU HIJRAH 1443

  Gambar hiasan Assalamualaikum w.b.t. Lamanya tinggalkan ruang ni. Mungkin ini kesan dari pandemik covid19 yang masih menguasai seluruh dun...